Assalamualaikum , Welcome To My Blog :D .
Home

Isnin, November 10, 2014

Sabar Adalah Satu Ujian Dari ALLAH


    Sabar berasal daripada perkataan bahasa Arab yang bermaksud mengawal. Secara istilahnya pula sabar didefinisikan sebagai mengawal diri daripada melakukan sesuatu perkara. Contoh sifat sabar adalah ketikamana seseorang itu mengawal dirinya daripada melakukan sesuatu perkara yang diharamkan oleh Allah swt.Antara contoh mereka yang tinggi kesabarannya adalah para rasul yang digelar sebagai Ulul Azmi. Mereka ialah Nabi Nuh, Nabi Ibrahim, Nabi Mus, Nabi Isa dan Nabi Muhammad ‘alahimussolaatu wassalam. Dalam al-Quran, Allah swt telah berfirman :
“Bersabarlah kamu sepertimana bersabarnya rasul-rasul Ulul Azmi (sebelum kamu).”(Surah al-Ahqaf:35).
    Para Rasul Ulul Azmi ini adalah mereka yang gigih mengajak manusia untuk taat memperhambakan diri kepada Allah swt dan meninggalkan segala bentuk syirik atau sekutu kepada Allah swt. Bukan sekadar itu sahaja, malah mereka adalah golongan yang tinggi kesabaran ketikamana dakwah mereka ditentang oleh kaum manusia yang tidak beriman kepada Allah swt.Lihatlah sahaja kesabaran Nabi Nuh as yang berdakwah selama 950 tahun semata-mata untuk mengajak manusia beriman kepada Allah swt, namun tidak ramai yang beriman dengan risalah beliau termasuklah anak dan isteri beliau sendiri. Firman Allah swt:
“Sesungguhnya Kami (Allah) telah mengutuskan Nuh kepada kaumnya selama 950 tahun kemudia Kami timpakan kaumnya dengan taufan dalam keadaan mereka melakukan kezaliman”(Surah al-’Ankabut:14).
    Sesungguhnya Allah swt akan menguji keimanan para hambaNya dengan melihat setinggi manakah kesabaran mereka ketika ditimpa musibah. Musibah adalah segala bentuk ujian berat yang menimpa kehidupan kita.Dalam al-Quran Allah swt telah berfirman: “Adakah manusia menyangka mereka akan dibiarkan untuk berkata kami beriman sedangkan mereka masih belum diuji (oleh Allah swt)? “(Surah al-’Ankabut:2). Di sinilah perlunya kekuatan sifat sabar dalam jiwa kita. Jika kita mampu bersabar dengan setiap ujian dan kesedihan yang Allah swt berikan mana sudah tentu kita merupakan hamba yang lebih beriman dan juga hampir kepadaNya.Manusia yang diberikan ujian oleh Allah swt bolehlah diketegorikan kepada empat golongan sepertimana yang telah dijelaskan oleh Syeikh Muhammad bin Salih al-Uthaimin rhm.

  • Golongan Pertama
    Mereka yang tidak mempu menerima ujian. Golongan ini merupakan golongan yang terlalu nipis sifat kesabaran di dalam jiwa mereka. Maka mereka akan membenci setiap ketentuan dan ujian yang mereka hadapi. Kebencian ini akan lahir daripada hati mereka dengan menolak qada’ dan qadar yang telah Allah tetapkan dalam hidup mereka. Hati kecil mereka akan berkata, “kenapakah kejamnya Tuhan kepada diriku?” Malah tindakan benci ini akan lahir dengan kata-kata kesat terhadap ketentuan Allah swt ke atas diri mereka. Kemungkinan juga sifat benci ini akan hadir dalam bentuk tindakan dengan mencederakan anggota tubuh badan malah mungkin menyebabkan seseorang itu membunuh diri. Inilah golongan yang terlampau lemah jiwa dan iman mereka ketika ditimpa sesuatu ujian.

  • Golongan Kedua
    Mereka yang sabar dengan ketentuan Allah swt. Golongan ini akan sentiasa berbaik sangka dengan Allah swt. Segala ujian sama ada dalam bentuk kesakitan mahupun kesedihan itu akan ditempuhnya dengan tabah dan dia yakin segala itu ada hikmah dan kebaikan untuk diri dan kehidupannya di muka bumi Allah swt. Ketikamana ditimpa ujian maka dia akan meletakkan tangannya di atas dada lalu berkata “Hasbiyallahu wa ni’mal wakil” iaitu cukuplah Allah itu bagiku dan dialah sebaik-baik pengatur urusan.

  • Golongan Ketiga
    Mereka yang redha dengan setiap ujian. Ketikama seseorang itu dipukul gelora dalam kehidupannya dia akan menerima ketentuan tersebut dengan rasa redha. Baginya setiap ketentuan Allah swt itu adalah baik baginya. Inilah ciri-ciri mereka yang tinggi keimanan ketikamana ditimpa musibah dalam kehidupan. Malah Nabi saw mengkategorikan mereka ini sebagai golongan yang luar biasa. Sabda Nabi saw: “Amat luar biasa urusan kehidupan seseorang mukmin itu. Segala perkara yang ditempuhi dianggap segalanya baik baginya. Perkara ini tidak akan dirasai melainkan oleh seseorang yang beriman. Apabila dia diberikan kesenangan maka dia akan bersyukur kerana dia yakin perkara tersebut adalah baik baginya. Malah apabila dia ditimpa musibah maka dia akan bersabar kerana perkara itu juga adalah baik baginya”. (Hadith riwayat Imam Muslim). Inilah contoh sifat redha yang perlu adalah dalam jiwa kita ketika menerima ujian daripada Allah swt.

  • Golongan Keempat
    Mereka yang bersyukur di atas ujian yang diberikan oleh Allah swt. Inilah sifat paling mulia pada seseorang hamba ketikamana menerima ujian dan dugaan kehidupan daripadaNya. Ketika mana dia telah bersabar dan redha, lantas akan hadir suatu rasa yang cukup indah iaitu bersyukur di atas ujian-ujian tersebut. Kerana apa dia perlu bersyukur? Kerana dengan ujian kesakitan dan kesedihan itulah yang menyebabkan dia lebih kuat iman dan terasa lebih hampir kepada Allah swt. Segala kesakitan zahir dan batin itu seakan hilang bila rasa cinta kepada Allah swt dan syukur kepadaNya itu hadir di dalam jiwanya. Inilah sunnah Nabi saw ketika menerima ujian yang ditempuhinya. Baginda saw akan bersyukur lantas mengucapkan : “Segala pujian bagi Allah swt di atas setiap keadaan”.(Diriwayatkan oleh Ibnu Majah dan dinilai sahih oleh al-Albaniy).

Dalam situasi apakah kita perlu bersabar?

  • Pertama: 
    Bersabar dalam melakukan kewajipan yang diperintahkan oleh Allah swt. Segala kewajipan yang telah disuruh oleh Allah swt sewajibnya kita laksanakan dengan cara yang terbaik. Untuk melaksanakan kewajipan-kewajipan ini perlulah disertakan dengan sifat kesabaran. Contohnya kita sabar dalam menunaikan solat fardhu lima waktu, berpuasa pada bulan Ramadhan, menunaikan zakat setelah tiba tempohnya, menunaikan ibadah haji di Baitullah dan lain-lain lagi.
Firman Allah swt: “Sesungguhnya orang yang bersabar akan diberikan ganjaran (oleh Allah swt) tanpa ada batasannya” (Surah al-Zumar:10).

  • Kedua:
    Bersabar dalam menahan diri daripada melakukan kemaksiatan. Untuk menahan diri daripada melakukam maksiat kepada Allah swt juga memerlukan kesabaran yang tinggi. Contohnya seseorang wanita itu tidak mendedahkan aurat kepada lelaki yang bukan mahramnya kerana dia tahu perkara tersebut adalah berdosa di sisi agama.
Begitulah juga para pemuda mahupun pemudi yang menahan nafsu syahwat mereka dengan penuh rasa sabar kerana mahu mengelakkan diri daripada terjerumus ke dalam dosa zina. Sesungguhnya naluri manusia kadang-kadang ingin melakukan perkara-perkara yang telah Allah swt haramkan kepadanya. Namun dengan rasa keimanan yang tinggi kepada Allah maka lahirlah sifat sabar yang lantas mengawal dirinya daripada berbuat dosa.
Sabda Nabi saw:” Sesungguhnya Syurga itu dikelilingi oleh perkara-perkara perkara-perkara yang tidak disukai manakala neraka pula dikelilingi oleh perkara-perkara yang memuaskan syahwat” (Riwayat Imam al-Tirmizi).
    Syeikh al-Mubarakfuri dalam mensyarahkan hadith ini dalam kitab beliau iaitu Tuhfah al-Ahwazi menerangkan bahawa untuk memasuki syurga seseorang hamba itu perlu melalui ujian-ujian dalam melakukan kewajipan dengan penuh rasa taat dan inilah yang digambarkan oleh Nabi saw sebagai perkara-perkara yang secara nalurinya tidak digemari oleh manusia. Namun neraka pula dipagari oleh nafsu syahwat yang secara nalurinya manusia suka akan perkara-perkara tersebut.
  • Ketiga
Bersabar di atas ketentuan dan ujian daripada Allah swt. Apabila kita menyebut mengenai ujian maka akan tergambar dalam kotak pemahaman kita bahawa ujian itu adalah kesakitan, kesusahan dan kesedihan. Ujian itu juga dianggap khusus kepada mereka yang hidup dalam kemiskinan. Namun perlulah kita tahu bahawa kekayaan dan pemberian zuriat juga merupakan ujian daripada Allah swt.
Firman Allah swt: “Sesungguhnya harta benda dan anak-anak kamu merupakan ujian dan pada Allah jualah pahala yang besar”.(Surah al-Taghabun:15). Bagaimanakah harta benda dan anak pinak mampu menjadi ujian? Ujian harta benda datang ketika mana hadirnya sifat bakhil dalam jiwa manusia manakala ujian anak-anak pula datang ketikamana mereka jauh daripada syariat Islam.
Oleh itu seseorang itu perlulah ada sifat sabar yang tinggi dalam menguruskan hartanya di jalan Allah swt dan juga sabar dalam mendidik anak-anaknya untuk mengenal Islam. Untuk menjadi hamba Allah swt yang beriman perlulah kita menyemai sifat sabar di dalam jiwa-jiwa kita. Kesabaran yang disemai ini akan menjadi motivasi di dalam jiwa. Oleh itu tidak akan ada istilah pasrah dan kecewa bagi sesiapa yang sentiasa tabah dan sabar dalam setiap ujian kehidupan yang dilaluinya.

Dreams Come True

Lokasi MRSM Pasir Tumboh
    Citernya begini : Dimasa kecil aku selalu menghantar kakak ku yang tersayang (angah) yang kini ditahun akhir USM (Kejuruteraan Kimia) Transkerian Penang. Sewaktu ini jugalah aku sematkan cita-cita untuk melanjutkan pelajaran ditempat ini (MRSM Pasir Tumboh) apabila aku masuk alam persekolahan kelak. Apabila aku menjejaki ke alam persekolahan teringatlah niat atau cita-cita aku ketika kecil dahulu. Disaat itu aku berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai matlamat yang aku idamkan, termasuklah pelajar-pelajar lain yang mana mungkin mempunyai cita-cita yang sama.
    Pada tahun 2013 aku menduduki pepereksaan sulung ku iaitu UPSR diSekolah Kebangsaan Marang Terengganu. Dengan berkat doa kedua orang ibubapa aku berserta usaha aku yang gigih , hasilnya aku telah berjaya mendapat keputusan yang amat cemerlang dalam pepereksaan tersebut 5 A. Dengan ini rasanya aku adalah sebahagian daripada sumbangan kejayaan sekolah pada tahun tersebut. Gembira tak terkata atas kejayaan ini dan aku bersyukur pada ILLAHI kerana memperkenankan impian ku walau pun perjalanan aku masih jauh untuk meniti kejayaan dan aku akan mencubanya dengan izin ALLAH.
    Sebaik saja keputusan UPSR keluar aku terus bersama Abah kePejabat MARA Daerah Marang unruk mengambil user name / password (percuma) untuk mengisi permohonan MRSM secara online. Pada waktu malam Abah aku terus mengisi permohonan secara online. Bukan setakat MRSM saja yang di isi malah SBP online pun di isi jua. SBP ini Abah telah mengisi secara online sebelum pengisian MRSM lagi...emmmm tarikhnya tak ingat..ha hha ha. Pada 9/12/2014 aku menghadiri ujian yang yang dikendalikan oleh MRSM dinamakan ujian UKKM bertempat di MRSM Wakaf Tengah Mengabang Telipot K/Terengganu.
 
    Dikala itu hujan lebat mengiringi aku dan Abah, maklumlah waktu musim tengkujuh di Pantai Timur. Tapi malangnya pada penghujung dec 2013 keputusan kemasukan ke SBP tidak menyebelahi aku. Aku terima dengan hati yang lapang, lalu terus buat e-rayuan. Ada hikmahnya diatas keputusan GAGAL dalam pemilihan ke SBP. Aku dapat tawaran daripada JPN Terangganu melalui semakan online nama ku tersenarai dalam kelas Premier SMTLS Marang. Maka pada tahun baru 1/1/2014 aku terus melapurkan diri di SMTLS untuk kelas Premier
    Dua hari sebelum 14/1/2014 sesawang MARA mengumumkan bahawa keputusan kemasukan ke Tingkatan 1 MRSM akan diketahui pada tarikh tersebut. Pada petang sebelum 14/1/2014 Sekali lagi sesawang MARA mengumumkan bahawa semakan secara online dipinda kepada satu tarikh iaitu 15/1/2014. Tepat pada waktunya Abah tak lena tidur dan sebelum subuh lagi dia bangun semak tapi gagal untuk mengekses ke sesawang rasmi MARA. Macam-macam ralat yang dipamirkan di Portal tersebut. Keralatan tersebut berpanjangan sehinggalah jam l/kurang 1300 Hrs barulah Abah dapat mengekses kelaman SEMAKAN itu pun dalam keadaan amat tenat. Ketika ini aku berada di SMTLS dan tak tau apa-apa lagi tentangnya sehinggalah aku kembali dari sekolah. Sekembalinya dari sekolah surat tawaran dan lain-lain dokumen berkaitan telah di muat turun oleh Abah dan katanya keralatan tersebut berlarutan sehinggalah sampai jam 1600 Hrs barulah line stabil dan semua pengunjung dapat mengekses ketempat SEMAKAN. Maka inilah hasilnya (senyum) : 
     Keriangan diwajah Abah tak dapat aku gambarkan dengan kata-kata yang mana aku dapat rasakan kerana kakak (Norhayati) panggilan dalam keluaga ANGAH pernah belajar ditempat yang sama satu ketika dulu dan kini aku pula akan menjejaki pula ditempat yang sama juga.
    Aku juga turut sedih dan simpati kepada dua kawan aku tidak berjaya dalam semakan tersebut, satu tak dapat rayuan dan satu lagi dapat rayuan dan aku harap dia dapat dalam rayuannya. Kedua-dua kawan aku tu semuanya anak Polis dan tinggal ditempat yang sama. Mudah-mudahan mereka berjaya.
    Pada 20/01/2014 Abah telah menyiapkan segala dokumen untuk di tanda tangan yang berkaitan untuk buat pengesahan pejabat Abah. Semuanya dibuat dalam dua salinan dan diharap tiada yang terlepas pandang. Wah ! banyak juga dokumen yang perlu diselesaikan. Emmm ! baru Satu bab sudah selesai dan dua bab lagi sedang menunggu iaitu pemereksaan doktor dan yang ini melibatkan ekonomi keluarga (Abah kata pasal belajar akan sediakan secukupnya) iaitu yuran pendaftaran sebanyak RM333 akan dibayar melalui online seperti arahan dalam surat tawaran. dengar citer Abah akan ambil jalan mudah iaitu akan bayar diPejabat MARA Daerah.
    Pada 21/01/2014 aku terpaksa CUTI dari menghadiri sesi persekolahan satu hari kerana untuk menyelesaikan berkaitan tawaran kemasukan MRSM. Masanya agak lewat sikit memcecah jan 1000 pagi aku bersama kedua orang tua ku kePejabat MARA Daerah untuk membayar yuran pendaftaran kemasukan MRSM sebanyak RM333 dan urusan ini sudah selesai apabila resit bayaran berpindah tangan.


    Seterusnya kami terus ke Klinik Besar Merchang untuk menbuat pemereksaan doktor. Akan tetapi semua Doktor yang ada semua tengah MEETING. Saya dinasihat oleh perkhidmatan kaunter supaya mendapatkan pemereksaan di Klinik Besar Marang dan selepas itu barulah datang balik ke Merchang untuk mengambil X-ray. Aku terus balik semula dan terus ke Klinik Marang untuk pemereksaan. Setelah separuh pemereksaan dibuat aku diberi sekeping surat untuk buat X-ray. Pada sebelah petang jam 1400 Hrs aku bersama Abah pergi semula ke Klinik Merchang untuk proses X-ray dan ianya tidak lama. Apabila selesai aku dan Abah terus balik Ke Klinik Marang untuk berjumpa dengan Doktor dan program selesai. Dalam perjalanan balik kerumah terus singgah ke kedai gambar D'Kodak Marang depan Sek.Keb. Marang yang diambil selepas pemereksaan doktor di Klnik Marang selepas sesi tengah hari dan bayaran yang dikenakan sebanyak RM25 untuk 16 keping gambar berukuran passport. Aku kira dah selesai semuanya dan yang tinggal tentang pemakaian uniform MRSM. Abah kata tunggu hari gaji baru boleh beli kain atau yang dah siap kerana hari gaji tak lama lagi iaitu pada 23/01/2014 disebabkan perayaan Tahun baru Cina jatuh pada 30/01/2014.
    Pada 23/01/2014 setealah mendapat arahan guru kelas supaya buku-buku tek yang telah dipinjamkan daripada sekolah wajib dikembalikan semula kepada sekolah. Pada hari ini 26/01/2014 aku telah memulangkan kesemua buku-buku yang telah aku pinjam daripada sekolah. Tapi ini bukan bermakna aku tidak akan hadir sesi persekolah...hadir tetap hadir. Hiba sungguh hati aku ketika ini kerana perpisahan dengan kenkawan yang aku baru kenali tetap akan berlaku jua apabila 3/2/2014 memanggil daku untuk hari pendaftaran MRSM bermula nanti.
    Pada 27/01/2014 nampaknya ku terpaksa cuti sesi persekolahan lagi hari ni kerana program untuk membeli peralatan MRSM semasa melapur diri nanti seperti uniform, kasut, seluar sukan dan sebagainya. Tetapi aku lewat bangun dan terpaksa dibatalkan oleh Abah aku kerana takut tak sempat kerana adik aku Norizati ada kelas KAFA yang mana akan balik jam 1700 Hrs dan dikhuatiri tak akan sempat mengambilnya dari sekolah. Kata Abah aku program membeli persiapan akan dibuat pada esok hari kerana Abah akan habis tugas waktu pagi. mungkin perkara ini diatas kesilapan aku sendiri kerana bangun lewat dan aku berjanji tidak akan mengulanginya lagi. Mungkin caranya adalah dengan tidur lebih awal...ha ha ha.
    Pada 28/01/2014 jam l/kurang 1500 Hrs selepas adik aku Norizzati balik dari sekolah (itu pun lepas makan) aku bersama keluarga terdiri MA , Abah, Angah , Izzati dan adik bongsu Wafiy berangkat ke Pasaraya GIANT K/Trg untuk membeli peralatan termasuk barang-barang keperluan dapur. Wah ! berbelanja sakan keluarga aku ni. Di kaunter bayaran aku nampak di DISPLAY harga dan adoi..... lebih 1K. Dalam perjalanan balik aku pergi ke Pasar Payang untuk membeli kain sekolah yang berwarna coklat, itu pun dah lewat petang. Akhirnya aku sekeluarga selamat sampai di kuarters sebelum maghrib. Pada 29/01/2014 aku tidak pergi ke sekolah dan mungkin aku tak akan pergi terus di SMKTLS sehinggalah ke saat-saat akhir persekolahan sampai tarikh keramat iaitu LAPUR DIRI.
    Emmm ! nampaknya saat-saat menjelang hari lapur diri ni aku dah tak pergi sesi persekolahan pada ari ni iaitu 30/01/2014 sehinggalah hari bersejarah 03/02/2014 nanti. Berkenaan dengan kenkawan, aku dengan menyusun sepuluh jari memohon kemaafan kalau ada tersilap kata dengan melalui media sosial. 
     Dipendekkan cerita pada 02/02/2014 bersama Abah, Ma, Angah, adik aku Norizzati dan yang bongsu Nor Wafiy bertolak ke Kg di Jelawat Kelantan untuk persiapan awal hari pendaftaran esok. Aku bertolak l/kurang pada jam 1000 pagi dan samapi agak lewat sikit kerana Abah dalam perjalanan banyak singgah di rumah kenkawannya di P/Puteh Kelantan maklumlah lama tak bersua. Apa-apa pun kami sekeluarga selamat sampai ke Kg. Sebelah malamnya aku sekeluarga tidur di rumah mak saudara aku di Kg Tualang Salak Jelawat Kelantan.
     Pada 03/02/2014 awal-awal pagi lagi (sesudah subuh) aku telah bersiap lebih awal lagi kalau dibanding dengan keluarga aku. Selepas aku bersarapan pagi pada jam 0900 aku sekeluarga bertolak ke MRSM. Tempatnya tidak berapa jauh hanya tak sampai setengah jam saja dari rumah mak saudara aku. Ketika sampai di MRSM aku dapati sudah ramai para ibu bapa pelajar yang sudah hadir memandangkan banyak kenderaan yang berada di parker iaitu di padang bola MRSM. Setelah meletakkan kenderaan ditempat yang sepatutnya, kedatangan aku disambut dengan penuh ramah oleh pelajar senior MRSM yang sememangnya telah ditugaskan untuk menyambut kedatangan kami sekeluarga dan juga dengan keluarga yang lain-lain. Aku dan Abah yang di pandu arah ketempat pendaftaran. Pendaftaran ini mengambil masa tidak bagitu lama dan aku kira tak sampai pun 20 minit. Kerana segala dokumen telah aku sediakan sejak dari mula lagi semenjak mendapat surat tawaran MRSM.


     Selepas selesai mendaftar aku dibawa oleh pelajar senior MRSM ke asrama yang telah ditetapkan iaitu no.maktab (rahsia), kelas F, asrama I 6, homeroom AL JABAR, penasihat Cikgu Suriati. Di bilik asrama aku ditempatkanbersama dengan dua pelajar senior dan dua pelajar baru. Setelah mengemas loker aku dan Ma menyusun dan mengatur peralatan kehidupan asrama dan persekolahan. Apabila 90 % selesai aku, Abah dan Ma terus pergi ke Dewan untuk dengar taklimat dari Pengetua MRSM. Selepas program tersebut aku menyambung tugas yang belum selesai di asrama bersama Ma. Nampaknya masa bagitu cemburu bagi Abah dan tibalah masanya Abah sekeluarga untuk pulang ke Marang. semasa aku sampai dekat GUARD depan aku dapati hanya ada dua kenderaan sahaja yang tinggal dan yang lain-lain semuanya sudah pulang ketempat masing-masing. Sempat juga aku tengok jam ditangan dan ianya memaparkan jam l/kurang jam 1500 Hrs. Didepan pintu utama sempat juga aku merakam photo semasa aku masih kecil ketika aku mengunjungi kakak aku Angah iaitu di tempat yang sama. Aku cuba mengamati antara aku dan Angah dengan photo diatas sekali.
    Mungkin inilah perantis keluarga aku seterusnya iaitu adik aku Norizzati yang kini berada di tahun tiga S.K. Marang. Mudah-mudahan ALLAH permudahkan rezeki untuk adik aku ini.
    Sebelum Abah berlepas pulang ke Marang aku berpelukan dengan Abah dan Ma. Maklumlah selepas ini aku akan hidup berdikari sahinggalah menjadi orang yang berjaya dalam keluarga dan masyarakat. Terasa sayu dan hiba juga rasanya jiwa aku memikirkannya tapi aku tetap gagahi juga demi memenuhi cita-cita aku ini. Maklumlah selama ini aku tidak pernah berjauhan dari keluarga dan kalau ada pun 2-3 hari saja, itu pun kerana ada program sekolah...kalau ada...memang pun..ha ha ha.
     Setakat ini dulu yang dapat aku coretkan perjalanan memori yang indah ini untuk tatapan kenkawan aku yang sudi membacanya.

     Inilah coretan aku sebelum dan selepas aku menjejaki kaki ditempat baru iaitu MRSM Pasir Tumboh Kelantan. Akan bersambung jikalau aku ada kelapangan ketika balik bercuti tapi dalam PAGE kedua yang mana akan menceritakan rentitan kehidupan dalam MRSM. PAGE ini dah kira tamat.

# Catatan in akan ditambah apabila selesai lapor diri dan kalau ada kelapangan